04 October 2009
Projek KoKEN: Koleksi Skrip Teater Kompilasi Volume I & II
Harga: RM20
Muka surat: 90
Sinopsis Koleksi Skrip Kompilasi Teater Vol 1 & 2
Teruk
Dalam kehidupan, setiap perkara perlu dilakukan dengan batasan. Tidak kira samada perlakuan atau aktiviti fizikal, spiritual, emosi atau apa sahaja, termasuk hubungan dengan Tuhan.
Adib, seorang lelaki berkehidupan sederhana yang telah terlolos dalam keindahan perasaan serta kebahagian yang dimiliki bersama Alishia, serorang gadis yang agak senang dengan kehidupannya. Taraf kehidupan tidak pernah menjadi penghalang mereka. Hubungan mereka seperti hubungan sepasang kekasih yang lain. Cuma mereka lebih jarang bertengkar atau bergaduh. Akibat hubungan yang terlalu indah dan tenang seperti yang selalu diidam - idamkan oleh setiap pasangan lain, Adib telah menemui satu perasaan serta pemikiran dari sudut lain.
Pokok Kelapa Sayang
Pokok Kelapa Sayang adalah kisah seorang lelaki tua yang bernama Hasyim, berketurunan India di Malaysia yang mana telah memeluk agama Islam demi percintaan yang terjalin antara dirinya dan Nur Ain.
Percintaannya telah dimusnahkan oleh kuasa ekonomi, kuasa politik, kuasa pemikiran masyarakat, kuasa budaya dan perkauman serta kuasa pilihan yang mana setiap manusia punya hak untuk membuat keputusan.
Nur Ain yang terhimpit antara kesetiaan pada keluarga dan kehendak hatinya telah memilih untuk membutakan perasaannya bagi memperjuangkan pilihan keluarga yang dipercayainya akan mendapat kebahagiaan, namun ia berlaku sebaliknya.
Hasyim yang berpegang teguh dan mempercayai pada cinta sejatinya telah mengakui Nur Ain hanyalah miliknya seorang sahaja sehinggakan sanggup melakukan tindakkan yang diluar sedar dan kejam.
Hasyim telah menanam mayat yang dipercayainya Nur Ain bersama sebiji buah kelapa, sehingga buah itu terus membesar menjadi pokok kelapa dan menjadi sebuah tanda percintaan agung buat Hasyim sehingga ke zaman tuanya.
Hasyim mempunyai rahsia mengenai pokok kelapa sayangnya itu, dimana tersimpan sejarah hitam pada dirinya yang cuba diselami oleh Penjaga, iaitu pekerja rumah orang tua setelah pelik melihat gelagat Hasyim tua yang begitu menyayangi sebatang pokok kelapa di pantai Port Dickson itu.
Naturalisasi
Mengisahkan tentang watak Razman, seorang peguam kepada seorang ahli perniagaan yang ternama dan teman baiknya Rahmat, seorang penulis bebas. Suatu malam Razman termenung sendirian di dalam gelap. Kegelisahannya berpunca dari kes perbicaraan membabitkan ahli perniagaan tersebut siang tadi. Rahmat, yang juga merupakan teman serumah Razman yang baru pulang dapat mengesan perubahan Razman. Mereka berbincang tentang hal tersebut, kemesraan tetap ada walau kadangkala keadaan menjadi agak tegang. Nurul kekasih Razman sampai dengan keadaan marah dan runsing. Setelah dipujuk oleh Razman barulah dia tenang. Darinya diketahui bahawa Nurul mengandungkan anak Razman. Mereka membuat keputusan untuk berkahwin. Malam itu Nurul tidur di situ, Rahmat marah dengan tindakan Razman. Mereka bertengkar. Pagi besoknya, Rahmat cuba menghasut Nurul dengan membuat satu helah, tujuannya untuk memisahkan hubungan Nurul dengan Razman. Setelah Rahmat keluar, Razman sekali lagi bertengkar dengan Nurul dan akhirnya Razman terperangkap dengan helah yang dicipta Nurul dan mengaku bahawa dirinya adalah lelaki gay. Nurul terkejut lalu mahu memutuskan hubungan dengan Razman. Tengah hari, Rahmat pulang membawa berita bahawa dia menghidap HIV positif.
Legasi
Legasi sebuah cereka yang mengisahkan tentang sepasang suami isteri yang saling mencintai di antara satu sama lain sepenuhnya akan tetapi mempunyai sisi persepsi paksi politik yang berbeza. Ia berlatar belakangkan kepada budaya politik Malaya 1940an. Cikgu Bakar dan isterinya, Cikgu Zaharah adalah elitus Melayu lepasan Sultan Idris Teachers College yang menyokong dan bersama menggerakkan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Apabila KMM mulai lemah (1945), ramai pemimpin utama kesatuan itu mengambil pendirian untuk meninggalkan KMM, termasuklah Cikgu Zaharah, namun ianya tidak melibatkan Cikgu Bakar. Hal ini adalah kerana Cikgu Bakar tetap terus berpaksi kepada perjuangan KMM. Konflik persepsi politik ini terus menyelubungi kehidupan Cikgu Bakar dan Cikgu Zaharah. 50 tahun kemudian, di hari-hari terakhir Cikgu Bakar, dia sempat berjumpa dengan cucu perempuannya yang merupakan seorang liberal anthropologist, Suhaila. Bersama Suhaila, Cikgu Bakar merungkai pengalaman, pandangan, kepercayaan politiknya. Adakah Suhaila akan meneruskan “LEGASI” yang di bangunkan oleh Cikgu Bakar.
Latarbelakang RAT
Rumah Anak Teater atau nama singkatannya RAT ditubuhkan secara tidak rasmi pada Oktober 2008. Ianya diasaskan oleh Nam Ron bersama beberapa anak muda graduan ASWARA. RAT adalah sebuah kumpulan yang dianggotai oleh penggiat muda seni persembahan. Penubuhan RAT pada asasnya adalah bagi memastikan kesinambungan kerja-kerja seni persembahan diteruskan oleh anak-anak muda melalui bengkel, diskusi dan persembahan. Bagi memastikan usaha-usaha ini bergerak, RAT telah melaksanakan suatu rancangan jangka panjang yang dinamakan Projek Komuniti Kental atau singkatannya Projek KoKen. Projek Komuniti Kental (KoKen) adalah nama yang diberikan kepada sekumpulan penggiat muda seni persembahan yang menganggotai Rumah Anak Teater (RAT). Projek ini adalah sebagai satu landasan atau tapak bagi mereka berkongsi idea dan pemikiran dalam kerja-kerja seni persembahan dengan ahli masyarakat.
RAT memberi satu ruang untuk berkumpul, berkongsi, berkolaborasi dan melaksanakan kerja- kerja seni dalam bentuk produksi dan pengembangan serta penggalakan seni di Malaysia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment