Apa ada pada definisi?
Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
ANTARA peserta yang hadir pada majlis Pidato Umum: Sastera Indonesia Period Reformasi: Antara Substans dan Estetika di Dewan Perhimpunan Cina Selangor. |
Perbincangan takrifan sastera yang lebih berpijak di bumi nyata
KECENDERUNGAN khalayak sastera yang terperangkap dalam bentuk dan standard bahasa bagi menentukan layak atau tidak ia diangkat sebagai karya sastera, dipertikaikan pada Pidato Umum: Sastera Indonesia Period Reformasi: Antara Substans dan Estetika.
Pidato umum di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, baru-baru ini, dihadiri lebih 50 peserta, menyarankan definisi sastera tidak diberikan secara mutlak kepada karya kelompok tertentu, sekali gus kepelbagaian jenis sastera wajar diraikan.
“Kalau kita memikir standard itu saja untuk menentukan sastera, maka khalayak tidak lagi berbicara mengenai rasa, jiwa dan subjek, sebaliknya lebih kepada kepandaian menyesuaikan diri dengan standard berkenaan. Pembahagian dan tanggapan itu menyebabkan sastera tidak menjadi cermin kehidupan, sebaliknya cermin kematian,” katanya yang menghasilkan 13 kumpulan cerpen dan tiga kumpulan puisi, tujuh novel, sebuah drama, tiga komik serta lima buku umum.
Seno yakin bahawa tanggapan sastera sebagai karya agung yang indah, asalnya lahir sebagai ideologi yang disempurnakan dari semasa ke semasa sehingga menjadi tonggak dalam sejarah sastera serta tidak mungkin dapat dihapuskan, sekali gus ia menjadi penerimaan sosial sebagai standard kepada estetika atau keindahan.
“Bagi penulis yang terlanjur beriman kepada keyakinan bahawa sastera atas standard tertentu, maka zat sastera wujud dalam standard itu yang turut menjadi roh dalam karya. Semakin kuat penulis memainkan bahasa dalam format yang sudah disepakati itu, semakin sahih dirinya sebagai ‘sasterawan’ dan semakin mapan standard estetika sasteranya,” katanya yang mendapat pendidikan Sarjana Muda di Institut Kesenian Jakarta dan Sarjana serta Ijazah Kedoktoran Sastera di Universiti Indonesia.
Penerima Anugerah Penulisan Sea 1987 dan Pemenang Hadiah Sastera Dinny O’Hearn (Australia) 1997 itu berkata, sastera sebenarnya boleh lahir walaupun menggunakan bahasa biasa seperti karya WS Rendra ‘inilah sajakku, pamflet masa darurat’ atau yang ditulis Wiji Thukul, iaitu ‘hanya satu kata, lawan!’.
“Sebenarnya falsafah keindahan yang mendasari sajak Rendra dan Wiji Thukul itu masih selalu dipersoalkan kerana tidak bersetuju atau bersepakat bahawa sastera juga mampu melayani tuntutan praktikal seperti pengumuman dan berita,” katanya yang turut memenangi Anugerah Khatulistiwa yang berprestij di Indonesia, iaitu 2004 dan 2005.
Bagaimanapun, Seno mengakui, diksi biasa yang dipilih WS Rendra dan Wiji Thukul untuk dimuatkan ke dalam puisi mereka, akan hilang kekuatannya sekiranya semua penulis meniru gaya terbabit.
Menjawab persoalan karya yang hanya difahami kelompok tertentu, Seno menganggapnya ia juga tidak boleh dipinggirkan daripada sastera kerana rakyat ada erti yang banyak termasuk golongan elit, menengah dan buruh, sekali gus boleh dibahagikan berdasarkan kayu ukur ekonomi atau budaya.
“Di Indonesia, ada teater atau sastera buruh yang lahir daripada kalangan buruh yang mungkin dianggap jelek oleh kelas masyarakat lain dan begitu juga golongan elit. Saya ingin tegaskan tidak ada satu kepercayaan mutlak terhadap definisi sastera kerana setiap wacana sastera ada kecanggihan tersendiri,” katanya.
Mengenai politik sastera, Seno menolaknya kerana ia selalunya tiada hubungan dengan sastera, sebaliknya lebih kepada menentukan siapa layak diiktiraf sebagai sasterawan seperti sejarah Lembaga Kebudayaan Rakyat (Lekra) dan penentangnya, kedua-duanya membicarakan mengenai rakyat.
No comments:
Post a Comment